TEMBURONG – Sabtu, 12 Rabiulakhir 1442 bersamaan 28 November 2020, bertempat di Dewan Muafakat, Bangunan Jabatan-Jabatan Kerajaan telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (District Disaster Management Committee) bagi Menangani Kejadian Banjir dan Tanah Susur di Daerah Temburong. Mempengerusikan mesyuarat tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, Pemangku Pegawai Daerah Temburong disertai oleh Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Zon 2, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Temburong dan agensi-agensi yang terlibat dan Pegawai dan Kakitangan daripada Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.
Mesyuarat merupakan mesyuarat kordinasi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi membincangkan bantuan-bantuan segera yang perlu diberikan kepada penduduk kampung yang terjejas oleh tanah susur dan banjir seperti bantuan evakuasi penduduk kampung yang memerlukan bantuan perubatan (perempuan mengandung) dan juga bantuan kepada penduduk kampung yang akan menghadapi peperiksaan serta bantuan catuan makanan bagi penduduk yang terjejas. Tempat-tempat yang terjejas oleh tanah susur ialah di kawasan Kampung Simbatang dan Kampung Limaling, di Mukim Batu Apoi. Manakala kejadian banjir berlaku di kawasan Mukim Bangar, Mukim Batu Apoi, Mukim Amo dan Mukim Bokok.
Dalam pada itu, Jawatankuasa telah pun membuat tindakan segera dengan menyediakan catuan-catuan. Turut serta dalam penghantaraan catuan-catuan tersebut ialah Yang Mulia Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said dan Yang Mulia Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.








