TEMBURONG - Ahad, 13 Rejab 1441 bersamaan 08 Mac 2020, bagi membentuk dan membina generasi penerus dalam memastikan warisan seni budaya Melayu senantiasa dipertahankan dan dipelihara, Majlis Perundingan Kampung Puni dan Batang Tuau telah pun mengendalikan Bengkel Seni Tari Tradisi Brunei bertempat di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar Temburong.
Bengkel selama tiga hari yang bermula pada Hari Jumaat 06 Mac tersebut ditutup dengan Majlis Penutup Bengkel Seni Tari Tradisi Brunei yang diadakan pada hari Ahad 08 Mac 2020. Bengkel merupakan satu usaha Majlis Perundingan Kampung Puni dan Batang Tuau bagi mengekalkan seni tari tradisi Brunei agar tidak pupus selain memberikan peluang khususnya kepada penduduk di Daerah Temburong.
Antara tujuan bengkel diadakan adalah untuk menanam rasa kepunyaan terhadap warisan seni budaya Brunei di samping menambah ilmu pengetahuan dalam seni tari tradisi Brunei bagi mempertahankan khazanah warisan seni budaya Brunei. Selain daripada itu juga, antara tujuan bengkel diadakan adalah untuk mengekalkan seni tari tradisi Brunei agar tidak pupus kerana ia merupakan budaya tradisi orang Brunei dan secara tidak langsung memupuk semangat berkerjasama secara berpasukan dan merapatkan silaturahim. Bengkel tersebut disertai oleh 30 peserta terdiri dari kanak-kanak, remaja dan belia wakil Majlis Perundingan Kampung dan penduduk Daerah Temburong.

